Tuesday, May 25, 2010

USLUB DAKWAH

MUQADDIMAH

Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Oleh kerana ia telah menjadi suatu perkara yang biasa disebut, maka ia tidak lagi berhajat kepada penghuraian.

Lantaran itu, hampir setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili.

Dari situ satu huraian lengkap berhubung dengan uslub dakwah diperlukan bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng dari landasan penafsiran. Ianya mestilah bermula dari Al-Quran yang telah dijamin kebenarannya oleh Allah s.w. t.

USLUB DAKWAH MENURUT AL-QURAN

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

Apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Setelah mereka berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana mereka boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah.

Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuham menyuruh mereka memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan.

Sebagaimana yang kita sebutkan sebentar tadi, perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." (Al-Ma'idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

Dari itu, kesimpulan yang boleh kita buat ialah uslub bermaksud teknik-teknik yang boleh digunakan bagi mencapai sesuatu matlamat. Berdasarkan kefahaman ini ia lebih merujuk kepada pengertian yang agak khusus dan agak tertumpu kepada unsur -unsur kepakaran dalam menjalankan sesuatu tugas.

Jika disatukan pengertian ini dalam konsep gabung jalin antara kalimah uslub dan dakwah, maka ia bermaksud teknik-teknik yang perlu diambil kira dalam proses menyampaikan dakwah dan menyeru manusia kepada jalan Allah atau lebih khusus lagi kepada pengabdian diri kepada Allah, menjauhi taghut, melakukan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya.Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah

b)Nasihat-nasihat yang baik

c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

•Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

•Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

•Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

USLUB NASIHAT YANG BAIK

Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul)." (Ali-'Imran: 137)

 
 

USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

 
 

Para da'i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri." (Al-Ankabut: 46)

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da'i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da'i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan.

Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

Sedangkan pendakwah tidak lebih dari seorang doktor untuk merawat pesakit supaya ia sembuh bukan bertujuan untuk membunuhnya.

Satu hakikat yang sering berlaku ialah musuh lebih mudah hilang pertimbangan dalam menghadapi dakwah samada mereka dari awal-awal lagi menolak apa-apa perbincangan atau mereka lebih mudah cenderung kepada hilang pertimbangan.

Kerana mereka tahu bahawa mereka tidak mampu menghadapi hujah-hujah dari golongan Islam. Contoh mudah ialah mana- mana forum di universiti tempatan yang menjemput wakil PAS maka wakil UMNO pasti akan menolak atau menarik diri dari hadir. Sedangkan mereka adalah pemerintah dan mereka dianggap sebagai orang yang berkuasa.

Contoh kedua ialah peristiwa pembunuhan anak Nabi Adam a.s. iaitu antara Qabil dan Habil. Qabil sanggup membunuh adik kandungnya sendiri lantaran kerana hilang pertimbangan antara akal dan nafsu.

PENUTUP

Sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da'I tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah mereka. Ini kerana soal hidayah dan penerimaan mad'u terhadap dakwah adalah dalam ruang lingkup kehendak mutlak Allah s.w.t.

1 comment:

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails