ISLAM merupakan satu ajaran yang lengkap dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat. Justeru, Islam memiliki panduan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah bagi menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan kebahagiaan sejati di akhirat. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa umat Islam perlu meniru atau mengambil mana-mana budaya asing selain Islam seperti budaya Barat, India, Cina, Jepun dan sebagainya sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kerana ajaran Islam sudah pun lengkap, sempurna dan diyakini dalam serba-serbinya.
Amat malang sejak akhir-akhir ini, generasi muda begitu mudah terpengaruh dan menerima bulat-bulat sebarang unsur budaya asing yang datang dari negara Barat mahu pun negara Timur walaupun sebenarnya mereka tidak perlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas bertentangan dengan Islam. Sebagai contohnya, ramai muda mudi kita yang menyambut kedatangan hari memperingati kekasih pada 14 Februari, hari ibu, hari bapa dan sebagainya yang merupakan suatu budaya yang datang dari negara Barat.
Di samping itu, tidak kurang juga didapati ada sebahagian umat Islam di Malaysia yang turut sama merai, menyambut dan merayakan, malah menaja dan menganjur semua hari kebesaran dan perayaan masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama di Malaysia seperti Hari Valentine, Krismas, Depavali, Hari Raya Cina, Thaipusam, Hari Gawai, Hari Wesak, Good Friday dan sebagainya. Padahal, Islam sudah pun menjelaskan hukumnya bahawa umat Islam dilarang sama sekali merai, menyambut dan juga merayakan hari-hari perayaan agama dan kaum yang bukan Islam kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan bercanggah pula dengan hukum-hakam syariat Islam yang telah ditetapkan Allah. Malah mereka yang meraikan sebagai contohnya Hari Memperingati Kekasih pada 14 Februari boleh dianggap murtad atau terkeluar daripada Islam jika cara melakukannya mirip dengan agama asal perayaan itu iaitu Kristian.
Dalam hal ini, Rasulullah pernah memberi amaran keras kepada umatnya berkenaan gejala mengikut, meniru atau melakukan budaya asing tersebut melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan tersebut." (Hadis riwayat Abu Daud & Ahmad).
Maj. i
No comments:
Post a Comment