tu hakikat yang tidak dapat dipadamkan dari lembaran sejarah ialah bahawa umat Islam 1400 tahun yang lalu merupakan satu golongan manusia yabg memiliki maruah, kekuatan dan keagungan yang tiada tandingannya. Akan tetapi sebaik sahaja kita mengalihkan pandangan dari lembaran sejarah itu kepada realiti kaum muslimin hari ini, kita akan melihat satu golongan manusia yang tenggelam di dalam lautan kehinaan dan di dalam jurang kefasikan. Kita dapat melihat dengan jelas umat Islam yang tidak mempunyai kekuatan atau pun kekuasaan. Kemiskinan dan kemunduran penduduk dunia majoritinya daripada kalangan umat Islam. Begitu juga kita dapat melihat mereka berada di dalam keadaan yang ketandusan harga diri, perpaduan dan kasih sayang. Bahkan peribadi mereka tidak lagi mencerminkan nilai akhlak yang tinggi sebagaimana 1400 tahun yang silam.
Tegasnya, umat Islam sedang di dalam keruntuhan dan kehinaan di mana-mana. Keadaan ini menjadi bualan, malah kegembiraan buat musuh-musuh Islam. Kenapa keadaan ini terjadi dan terus berlarutan? Bukankah telah muncul pejuang-pejuang sama ada secara individu atau secara jamaah Islam yang bangun berusaha mengembalikan kemuliaan, maruah, kekuatan dan ketuanan umat Islam di atas muka bumi ini? Kita lihat kehinaan terhadap umat Islam di Palestin dipermainkan oleh Yahudi Kuffar. Sehingga kini jalan penyelesaiannya masih buntu. Umat Islam Ambon diperkotak katikkan oleh kaum Nasara sesuka hati mereka. Mungkin kita tertanya-tanya mengapa Allah biarkan umat Islam ini di dalam kehinaan dan ditekan dimana-mana. Sedangkan Allah sendiri berjanji akan menyerahkan bumi ini kepada Umat Islam.
Firman Allah : "Dan Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal soleh, bahawa Dia akan bersungguh-sungguh menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi." (An Nur: 55)
Kalau diikutkan akal, tidak patut rasanya Allah mebiarkan umat Islam terus menerus berada di dalam kehinaan. Tapi kenapa Allah jatuhkan Umat Islam dari tampuk pemerintahan dunia ? Untuk menjawabnya, kita perlulah memahami sunnatullah yang berlaku di dalam sejarah. Firman Allah :
"Hari-hari itu kami gilirkan di antara kamu." (Ali Imran 140)
Dan di dalam firmanNya yang lain: "Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebabahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang di curahkan) ke semesta alam." (Al Baqarah: 251)
Melalui ayat ini fahamlah kita bahawa penguasaan di muka bumi ini Allah tidak tetapkan kepada sesuatu bangsa atau kaum sahaja. Tetapi Allah tukar gantikannya dengan manusia yang lain dengan tujuan agar muka bumi tidak dipenuhi dengan kemungkaran dan kerosakan. Jadi apabila sesuatu bangsa berkuasa di atas muka bumi telah berleluasa penindasannya atau telah berlaku banyak kerosakan dan maksiat, maka Allah akan hapuskan kaum itu dan di tukarkan kepada kaum yang lain. Begitulah yang berlaku di dalam sejarah. Rom Tua dan Parsi Raya pernah berkuasa di muka bumi ini sebelum kedatangan Islam. Tetapi apabila mereka telah membuat mungkar dan berlaku zalim, maka Allah telah menukarkan mereka dengan Umat islam. Sehingga mereka jatuh terkulai di telapak kaki umat Islam ketika itu. Setelah 700 tahun umat Islam berkuasa. Allah jatuhkan pulaumat Islam kerana kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan. Diganti dengan kerajaan Monggol. Begitu jugalah nasib kuasa-kuasa barat yang memerintah dunia seterusnyaSemakin banyak kemungkaran dan kezaliman yang berlaku, makin cepatlah Allah tukarkannya kepada kaum yang lain untuk memerintah muka bumi ini.
Jadi kekuatan dan kekuasaan umat Islam silam telah dijatuhkan oleh Allah kerana kelalaian dan kemungkaran umat Islam sendiri. Perbuatan dosa dan maksiat telah berleluasa di kalangan umat Islam. Mereka lupa hukum Allah, maka akibatnya Allah pula melupakan mereka. Firman Allah : "Mereka lupa Allah, lalu Allah melupakan mereka." (At Taubah: 67)
Para penguasa dikalangan mereka telah cinta dunia. Mereka habiskan masa untuk berhibur dan melakukan maksiat. Alim ulamanya sudah tidak berfungsi. Masyarakat terbiar di dalam kejahilan Sabda Rasulallah s.a.w: "Hampir tiba masanya kamu akan dikeronyok oleh bangsa-bangsa lain (musuh-musuh Islam) sebagaimana orang-orang menghadapi hidangan di majlis jamuan. " Sahabat bertanya : Adakah kerana ketika itu bilangan kami sedikit." Rasullallah menjawab : " Bahkan bilangan kamu diwaktu itu banyak, tetapi kamu tidak ubah seperti buih-buih dipermukaan air sewaktu musim banjir. Allah akan mencabut rasa gerun dari hati-hati musuh kamu sebaliknya dimasukkan ke dalam hati-hati kamu penyakit Al Wahan." Sahabat bertanya lagi : " Ya rasulallah, apakah Al Wahan itu ?. Jawab Rasulallah : " Iaitu cinta dunia dan takut menghadapi mati." (HR
Abu Dawud daripada Tsauban)itu berani kita mengatakan bahawa kejatuhan umat Islam dan keruntuhan Tamadun Islam yang telah dibina oleh para Salafus Soleh telah runtuh kerana dosa dan maksiat yang dilakukan
oleh umat Islam itu sendiri. Apabila mereka melakukan maksiat dan mungkar, maka mereka tidak lagi tergolong di dalam orang yang bertaqwa. Dan dengan sebab itu mereka tidak mendapat pertolongan Allah kerana Allah berjanji untuk menolong hanya orang yang bertaqwa. Firman Allah
: "Allah adalah pembela orang yang bertaqwa." (Jatsiyah: 19)
Allah penolong dan pelindung orang yang bertaqwa. Bukan sekadar Islam dan beriman sahaja. Menyedari hakikat inilah Sayidina Umar berpesan kepada tenteranya apabila tenteranya hendak bertolak ke medan perang : "Aku lebih takutkan dosa-dosa kamu daripada musuh-musuhmu.Kerana apabila kamu telah melakukan dosa, Allah tidak lagi menolong kamu." Dan terbukti di dalam sejarah Umat Islam, apabila taqwa itu dijadikan syarat di dalam perjuangan, pastinya Umat Islam akan beroleh kemenangan yang besar. Lihat kejayaan perjuangan para sahabat dan
salafussaoleh sehingga kejayaan Sultan Muhammad Al Fatih dari kerajaan Othmaniyah menguasai dunia. Semuanya dimulai dengan Taqwa. Kini Umat Islam telah lalai dengan sembahyang, ulamanya berkrisis dan sombong, hasad dengki, rogol, zina, liwat, samun, pergaulan bebas telah
berleluasa di kalangan umat Islam. Sedangkan usaha untuk membanterasnya dilakukan sambil lewa dan tidak jujur. Mereka yang diharapkan membanteras kemungkaran juga terlibat dengan maksiat dan mungkar, makan harta anak yatim, malah mempersempitkan kerja amar makruf ini ke
jalan yang sempit. Jika beginilah keadaannya, pasti umat Islam akan terus terhina. Oleh itu apakah jalan yang perlu diambil untuk keluar dari kehinaan ini. Imam Malik pernah berkata:"Pembaikan Umat terakhir ini tidak mungkin (tercapai) melainkan dengan cara yang digunakan
pada umat permulaan (di zaman Rasulallah)."
Oleh itu kaedah yang telah digunakan oleh Rasulallah s.a.w sehingga berjaya mengeluarkan ummat Arab daripada Jahiliyah yang penuh dengan maksiat dan mungkar itu patut dijadikan contoh dan tauladan. Dibangkitkan Rasulallah s.a.w untuk memandu umat manusia ke jalan yang
lurus yang dapat memberikan kedamaian serta kemakmuran kepada manusia sejagat. Padanya diberikan Al Quran yang mengandungi peraturan-peraturan hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia di muka bumi ini. Rasulallah s.a.w berdepan dengan berbagai gejala sosial
masyarakat diwaktu itu dengan lapang dada dan terbukti ianya dapat diselesaikan. Para sahabat yang asalnya ganas dan biadab itu telah dididik oleh Rasulallah s.a.w menjadi sebaik-baik manusia. Melalui sejarah, terbukti Rasulallah s.a.w telah menggariskan 3 formula untuk
menyelesaikan penyakit masyarakat iaitu :
1) Menanam kembali rasa ketauhidan, rasa kebesaran dan kehebatan Allah s.a.w. ayat-ayat Al-Quran yang menunjukkan sifat-sifat kebesaran, keagungan, ketinggian dan sifat ciptaan Allah s.w.t perlu dibaca selalu. Bila manusia difahamkan kembali peranannya sebagai hamba Allah dan khalifahNya di atas muka bumi, disedarkan bahawa Allah yang menghidupkan dan mematikan semua makhluk termasuk manusia, menyedari akan nikmat dan azab akhirat itu benar dan pasti terjadi, maka perasaan gerun dan takut itu akan sentiasa mengawal dirinya dari melakukan maksiat dan meningkatkan diri untuk melakukan ketaatan dan mendorong manusia lain berbuat baik. Fenomena ini akan mendorong manusia membuat amal makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).
2) Menanam kembali rasa cinta kepada kehidupan akhirat. Ayat-ayat Allah yang menunjukkan akhirat itu lebih kekal dan lebih utama, kenikmatan syurga dan kepedihan neraka dibaca untuk menyuburkan jiwa mereka. Rasulallah berjaya melahirkan jiwa-jiwa yang cintakan mati syahid
memperjuangkan Islam. Rindu dan cinta hari akhirat sehingga mereka mengorbankan harta yang sebelum ini menjadi keutamaan dan kecintaan hidup mereka.
3) Menanam kembali semangat dan perasaan cintakan sesama manusia terutamanya umat Islam dengan melahirkan contoh dan teladan yang baik di dalam diri. Rasulallah s.a.w bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri." Umat Islam perlu diajak untuk memperbanyakkan khidmat antara satu dengan yang lain.
Rasulallah s.a.w bersabda: "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain." "Berbuat baiklah kepada sesiapa yang berbuat jahat kepada kamu."Rasulallah s.a.w sendiri mencetuskan ciri-ciri yang boleh mendatangkan perasaan ukhwah dan
contoh teladan yang baik ditengah masyarakat. Sejarah telah merakamkan bahawa banyak para sahabat yang dahulunya kafir di zaman Rasulallah s.a.w tertawan hatinya dengan Islam hanya kerana melihatkan kehebatan akhlak Rasulallah s.a.w. Akhlak umpama bunga wangi yang boleh
menarik sesiapa sahaja kepadanya. Masyarakat tidak perlu dihujah dengan berbagai hujah-hujah ilmiah, tetapi cukup dengan akhlak Islam sahaja mereka mengorbankan agama asal mereka demi untuk menganut Islam. Kita lihat beberapa contoh akhlak mulia Rasulallah s.a.w yang ditunjukkan
ketika menghadapi karenah kaumnya.
Pada satu hari, hadir di dalam satu majlis makan seorang fakir yang hitam legam kulitnya. Berkudis badannya. Para sahabat nampaknya kurang senang dan bimbang kalau-kalau si fakir ini duduk bersebelahan dengan mereka. Tetapi apa reaksi Rasulallah s.a.w ? Baginda bangun dan
pegang tangan si fakir, dipimpin dan dibawa masuk ke dalam majlis dan dibawanya duduk betul-betul bersebelahan dengan baginda. Maka makanlah baginda dengan si fakir itu bersama-sama. Begitulah rendah diri dan tawadhuknya baginda terhadap manusia. Walhal nama baginda diletakkan di sisi nama Allah, selaku manusia yang paling dikasihi oleh Allah. Hingga kini nama itu masih disebut dan dilaungkan di seluruh dunia setiap masa dan ketika. Namun begitu hatinya tetap merasakan dirinya hamba Allah yang hina. Tidak sedikit pun rasa sombong, angkuh dan takabbur. Sebab itu baginda boleh memegang tangan si fakir yang kotor dan busuk itu untuk duduk bersebelahan dengan baginda. Itulah akhlak yang menjadi contoh dan tauladan kita.
Rasulallah s.a.w pernah dicaci maki, dihalau dan dilontar dengan batu hingga mengalir darah meleleh hingga ke kakinya oleh kaum Thaqif di Taif. Mereka itu marah dengan Rasulallah kerana baginda mengajak mereka kepada agama Islam. Maka berlarilah Rasulallah s.a.w berlindung di
sebalik bukit menyembunyikan diri. Kemudian turunlah malaikat berkata kepada baginda : "Wahai kekasih Allah, katakan apa sahaja untuk kami lakukan terhadap kaum ini ?. Maka Jawab baginda dengan jawapan yang tidak pernah diduga oleh sesiapa. Kata-kata yang lahir daripada jiwa yang benar-benar mulia lagi suci murni. Inilah akhlak baginda yang mesti menjadi ikutan kita. Baginda memaafkan kesalahan orang yang menzalimi baginda dengan katanya : "Wahai Tuhan ! Berilah
petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui." Begitulah baiknya Rasulallah s.a.w. Orang yang menyakitinya pun di doakannya. Sedangkan kita orang yang telah berjasa pun kita boleh derhaka.
Satu ketika seorang perempuan tua Yahudi yang selalu mengata dan mencerca Rasulallah s.a.w sakit. Mendengar perempuan tua itu terlantar sakit, Rasulallah s.a.w memutuskan untuk menziarahinya. Terperanjat perempuan tua Yahudi itu kerana Rasulallah s.a.w sudi menziarahinya
walaupun selama ini dia sangat suka menyakiti Rasulallah dan berkata : "Engkau datang ya Muhammad sedang aku terlantar sakit dan selama ini aku sangat suka menyakitimu.Sesungguhnya engkau memang benar." Maka Islamlah perempuan tua Yahudi itu.
Inilah teknik dan kaedah Rasulallah s.a.w untuk mengubati masyarakat jahiliyah di zamannya. Rasulallah s.a.w telah berjaya mengubah kiblat masyarakatnya dari kegelapan kepada cahaya ilahi selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah hingga melahirkan watak-watak peribadi yang luar biasa, yang telah menguasai 3/4 dunia di mana tempias nikmat iman dan Islam telah dapat kita rasai hingga ke hari ini. Hal ini jelas dilakukan oleh Rasulallah s.a.w dengan kaedahnya yang tersebut dan diringkaskan iaitu dengan :
1) Mengetahui akan penyakit-penyakit masyarakat yang berleluasa.
2) Mengetahui sebab, sumber atau punca penyakit tersebut boleh berlaku.
3) Mengetahui bagaimana hendak mengubati penyakit tersebut.
Oleh itu, jalan inilah yang hendak kita tempuh iaitu dengan membuka seluas-luasnya gelanggang bagi menyeru kepada makruf (kebaikan) dan mencegah kepada mungkar. Umat Islam hendaklah diasuh dan dididik hingga mereka takutkan Allah, gerun kepada siksa neraka dan cintakan syurga
Allah di akhirat kelak. Hasilnya mereka akan takut dengan dosa dan meninggalkan maksiat dan kemungkaran yang menjadi punca keruntuhan dan kehinaan di atas muka bumi ini.
Thursday, May 27, 2010
Kemungkaran Punca Kejatuhan Umat Islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment