Wednesday, May 5, 2010

siri peringatan akhir zaman...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
SIRI PERINGATAN AKHIR ZAMAN
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: "Rasululah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
Muqaddimah Siri-1
Risalah yang sedang anda lihat ini adalah sebuah usaha da’wah daripada Muslim untuk Muslim serta manusia sejagat. Anda akan didedahkan melalui beberapa siri penjelasan & pencerahan minda mengenai Apa, Siapa, Kenapa, Matlamat, Lokasi, Kaedah, dan Hasil; juga perisitiwa-peristiwa yang telah berlaku, sedang terjadi, & akan menyusul dalam tempoh masa mendatang di seluruh dunia bahkan di bumi bertuah ini – Malaysia.
Risalah ini adalah siri pertama dari sejumlah Siri Peringatan Akhir Zaman yang akan diterbitkan secara berkala dan percuma. Anda bebas samada untuk menyebarkannya kepada yang lain atau membiarkannya begitu sahaja. Risalah ini hanyalah sekeping kertas yang mengandungi peringatan dan nasihat, tiada memberi mudarat mahupun manfaat tanpa izin Allah azza wa jalla. Pilihan di tangan anda, sesungguhnya kami telah menyampaikan.
Teori Konspirasi: Apa & Bila Ia Bermula?
Isu Conspiracy Theory atau Teori Konspirasi ini dipelopori oleh masyarakat Barat dan telah menjadi salah satu sub-budaya & kefahaman mereka dalam kehidupan harian. Tiada rekod atau catatan khusus berkenaan bilakah tarikh sebenar bermulanya ‘kegilaan’ dunia barat mengenai Teori Konspirasi ini, melainkan ianya mula dikenali umum di Amerika Syarikat sewaktu munculnya berita mengenai objek terbang yang tidak dikenali (U.F.O-Unidentified Flying Object) terhempas di suatu kawasan tandus bernama Area-51 Roswell, Nevada pada tahun 1947 iaitu lokasi bagi markas sulit tentera udara A.S (USAF).
Bukan perisitiwa di Area-51 itu yang hendak dikupas, tetapi mengapa Teori Konspirasi ini mula mendapat tempat di hati masyarakat Barat. Mereka mula berminat mengkaji perisitwa-peristiwa ‘aneh’ yang berlaku disekeliling lantaran mereka tidak berpuas hati melalui penjelasan pihak pemerintah di White House yang dianggap menyembunyikan ‘perkara sebenar’ daripada pengetahuan rakyat Amerika Syarikat, lantas mewujudkan apa yang difahami kita pada hari ini sebagai Teori Konspirasi (Teori Rancangan Sulit).
Lama kelamaan, ‘demam’ Teori Konspirasi ini terus merebak ke seluruh pelusuk dunia hingga ke bumi Allah ini, Malaysia. Sehingga ke suatu tahap, Teori Konspirasi ini menganggap bahawa hampir keseluruhan corak kehidupan manusia masa kini mencakupi sosial, adat resam, budaya, agama, kesenian, dan terutamanya politik telah dipengaruhi & diserapi oleh suatu jaringan perancangan sulit lagi rahsia oleh sebuah kumpulan ‘Tangan Tersembunyi’ atau lebih dikenali sebagai The Hidden Hand.
Persoalannya, adakah benar dakwaan mereka yang dikenali sebagai Pengkaji Teori Konspirasi tersebut bahawa hampir segalanya di dunia ini telah ‘dikawal’ oleh sekelompok ‘pemain belakang tabir’ iaitu The Hidden Hand? ATAU, para pengkaji Teori Konspirasi itu sendiri adalah petualang sebenar yang menjadi ‘talam dua muka’ kepada The Hidden Hand?
ATAU, SESUATU YANG LEBIH SULIT TELAH & SEDANG BERLAKU DI SEKELILING KITA TANPA DISEDARI?
Lihat Muka Surat Sebelah
Pandangan Sudut Islam Mengenai Teori Konspirasi
Maksud ‘konspirasi’ itu sendiri beerti perancangan sulit, telah dirancang secara tersusun lagi sistematik. Malah, konspirasi mengambil masa yang panjang untuk direncana dan dilaksanakan bagi mencapai maksud serta tujuan akhir mereka yang merancangnya.
Percaya atau tidak, Teori Konspirasi ini sebenarnya telah lama diceritakan oleh Al-Quran Karim tanpa kita sedari. Sila teliti petikan Surah Al-A’raaf ayat 16-17 yang berikut:
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) sesungguhnya aku akan bersungguh-sungguh menghalangi mereka (daripada) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka. (Sehingga) Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”
-Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan terbitan Yayasan Restu-
Ayat di atas jelas menceritakan bahawa ‘perancangan sulit’ sebenarnya telah lama direncanakan oleh ‘seseorang’ yang masih menyimpan dendam kesumat tidak terbalas- IBLIS Laknatullah, lantas bersumpah di hadapan Allah s.w.t untuk menyesatkan anak-anak Adam a.s; tidak mengira keturunan, warna kulit, dan agama. Oleh yang demikian, apakah diantara ‘alat’ serta kaedah bagi menjalankan ‘perancangan sulit’ tersebut selain menggoda nafsu manusia?
Dajjal Dan Fitnahnya
Ruangan terhad ini tidak akan mengupas kembali perihal Dajjal yang telah banyak diperincikan oleh hadith-hadith Nabi mahupun ilmuwan Islam. Namun, kami ingin membuka minda anda mengenai strategi/kaedah yang dilakukan oleh salah satu alat atau ‘tools’ Iblis laknatullah dalam mencapai misi terahsia lagi sulit-
DAJJAL & OPERASI PENSYIRIKAN BESAR-BESARAN SELURUH DUNIA!
Iblis berusaha dengan pelbagai cara untuk menyesatkan manusia KESELURUHANnya tidak kira samada yang beriman mahupun tidak. Justeru, berdasarkan 2 kategori manusia di bumi iaitu BerIman & Tidak BerIman maka Iblis mempunyai 2 perancangan sulit (konspirasi) bagaimana hendak menyesatkan kedua-dua golongan manusia tersebut secara sekaligus lagi sistematik, mengikut tahap pemikiran dan intelektual mereka melalui ‘alatnya’ iaitu fitnah/ujian DAJJAL AL-MASIH.
Bagi golongan Tidak BerIman; oleh kerana dari segi kepercayaan beragama mereka telah sedia sesat dari petunjuk kebenaran agama Allah, maka proses doktrinisasi/mempengaruhi pemikiran mereka menggunakan kaedah-kaedah berikut bagi menambahkan kekeliruan dalam kehidupan mereka:
- UFO, makhluk asing (wujudnya makhluk lain seakan manusia - sedangkan manusia adalah sebaik mahkluk
penciptaan-Nya daripada semua makhluk)
- Sistem politik demokrasi acuan Barat yang menggubal undang-undang berdasarkan ‘majoriti’ suara ramai.
- Pengkajian sains & teknologi tanpa batasan (klon, susunan genetik bagi mencipta generasi manusia lebih berkualiti)
- Tokok tambah agama Jahilliah ke dalam agama (ritual Paganisme dalam agama Yahudi, Kristian, dan lain-lain)
Bagi golongan BerIman; oleh kerana asas Tauhid serta kemurnian agama Islam itu telah terpelihara sekian lama tanpa tokok tambah yang besar ke dalam ajarannya, maka suatu perancangan yang lebih kompleks tetapi nampak mudah telah direncana oleh ‘alat’ Iblis yakni Dajjal. Buktinya, Nabi Muhammad S.A.W meninggalkan ingatan ini kepada umatnya sewaktu Khutbah Terakhir/Wida’ pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung ‘Arafah:
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.”
Apakah perkara-perkara kecil itu?
- Umat Islam sentiasa dilagakan dengan perselisihan kecil antara mazhab, khilaf ulama’ yang sepatutnya dihormati
masyarakat awam Islam namun sering melarat hingga tuduh-menuduh antara satu sama lain.
- Mengasimilasikan/menyerapkan budaya & adat resam bangsa ke dalam ajaran murni agama Islam.
- Memisahkan antara agama, kehidupan, & pemerintahan. Agama hanya sebagai ibadah, bukan cara hidup (Ad-Deen)
- Perkara tertentu seperti acuan ekonomi, politik, & budaya dari Barat itu sering diambil bulat-bulat tanpa penelitian
kesannya terhadap umat Islam. Kebathilan disalut kemas dengan kebaikan untuk mengaburi mata umat Islam.
Demikianlah sedikit sebanyak pencerahan ringkas melalui siri pertama risalah Peringatan Akhir Zaman ini.
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab kubur, aku berlindung kepadaMu dari
azab neraka jahannam, aku berlindung kepadaMu dari fitnah kehidupan dunia dan
kematian dan berlindung kepadaMu dari Al-Masih Dajjal”

No comments:

Post a Comment

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails