Sunday, May 23, 2010

PENGERTIAN FALSAFAH


 

    Perkataan falsafah berasal dari perkataan Yunani tua iaitu "philos" yang bermaksud "cinta" dan "sophia" yang bermaksud "bijaksana , hikmah" iaitu cinta pada pengetahuan atau hikmah . Falsafah tidak boleh ditafsirkan sebagai hikmah kerana ia merupakan cinta kepada hikmah dan usaha atau kaedah mendapatkan hikmah .

    Dapat dirumuskan bahawa falsafah adalah sesuatu yang terletak di antara sains dan teologi . Falsafah memerlukan penyiasatan yang menyeluruh , komprehensif dan logik tentang aktiviti manusia dalam pelbagai bidang seperti agama , sains , seni dan pendidikan . Penyelesaian sesuatu persoalan falsafah adalah melalui bertafakur , berspekulasi , mentaakul , berteori dan berdiskusi .


 

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

" Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat ".

    Profesor Syed Muhammad al – Naquib al – 'Attas menyebut bahwa tujuan utama ilmu daripada perspektif Islam . Konsep – konsep utama yang terjalin dan saling berkaitan semestinya membentuk unsur utama dalam sistem pendidikan Islam . Konsep – konsep tersebut ialah :

  1. Konsep ad – Din
  2. Konsep insan
  3. Konsep ilmu dan ma'rifat
  4. Konsep hikmah
  5. Konsep adil
  6. Konsep amal / adab
  7. Konsep kulliyyah – jamia'ah atau universiti


 

Tujuan Falsafah Pendidikan Islam

    

    Menyebarkan pengalaman dan kebudayaan manusia daripada satu generasi ke generasi yang lain . Dalam Islam penyebaran pengalaman terbahagi kepada dua :

  1. Pengalaman dalam bentuk kemahiran serta pengetahuan teknikal yang sentiasa berubah – ubah setiap masa .
  2. Pengalaman berasaskan nilai – nilai yang tetap dalam agama . Merupakan pengalaman yang tidak berubah dan terdapat dalam al – Quran dan hadis .


 

Dasar Pendidikan Islam

    Hassan langgulung ( 1979 ) ; Terdapat 7 perkara yang menjadi dasar pendidikan dalam Islam iaitu :

  1. Ke esaan Allah
  2. Kepercayaan kepada nabi dan rasul
  3. Kepercayaan kepada wahyu Allah yang diturunkan kepada nabi dan rasul .
  4. Semulajadi manusia tidak berdosa dan ia sangat berpotensi dalam perkembangan moral dan kerohanian .
  5. Seseorang bertanggungjawab atas tindakannya sendiri .
  6. Kehidupan sesudah mati .
  7. Persamaan dan persaudaraan sejagat umat Islam .


 

Matlamat Falsafah Pendidikan Islam

    " Mewujudkan perkembangan yang seimbang dalam diri seseorang dengan nilai – nilai keislaman ".

Perkembangan yang seimbang hanya dapat diwujudkan dengan akal fikiran dan ilmu pengetahuan .Nilai – nilai keislaman adalah seperti beriman , berbudi pekerti , berakhlak tinggi , beramal soleh dan berkeperibadian mulia . Dengan adanya nilai – nilai tersebut akan dapat mewujudkan tersebut akan dapat membentuk sebuah masyarakat yang harmoni , saling menghormati dan aman damai . Keharmonian dan ilmu pengetahuan merupakan aset dalam pendidikan Islam . Ilmu tanpa iman dan amal adalah sia – sia kerana ia tidak membawa faedah kepada individu itu dan masyarakat .

Menurut Kursyid Ahmad ( 1874 ) ; Pendidikan menurut Islam ialah mesti dapat melahirkan manusia yang berpendirian dan yakin terhadap idealisme Islam .


 

Maka dapat dirumuskan bahawa matlamat pendidikan Islam ialah :

  1. Untuk melahirkan manusia bertakwa .
  2. Untuk melahirkan manusia ta' buddi ( meletakkan seluruh hidupnya mencari keredhaan Allah s.w.t ) .
  3. Untuk melahirkan manusia yang bercita – cita tinggi , al – falah ( menuju kejayaan ) sebagai matlamat dan tujuan hidupnya .


 

Skop dan Bidang Pendidikan Islam

    Skop pendidikan Islam sangat luas dan menyeluruh . Ia banyak memberi penekanan terhadap :

  1. Pembinaan otak ( fahaman idealisme )
  2. Penekanan aspek alam sekeliling dan ransangan ( fahaman realisme )
  3. Membentuk manusia beriman , berakhlak tinggi , berpengetahuan dan beramal soleh .

Ia merangkumi bidang – bidang

  1. Pendidikan Tauhid
  2. Pendidikan Akal
  3. Pendidikan Kesihatan
  4. Pendidikan Akhlak
  5. Pendidikan Akidah
  6. Pendidikan Emosi
  7. Pendidikan Estetika
  8. Pendidikan Sosial


 

Ini bermatlamat untuk melahirkan insan muslim yang sejati bagi hidup di dunia dan akhirat .


 

Pembentukan Kurikulum Pendidikan Islam


 

    Perkara yang penting dalam pembentukan kurikulum pendidikan Islam adalah pengajaran al – Quran , Hadis dan bahasa Arab . Bahasa Arab penting kerana ia bahasa al – Quran dan Hadis dengan tujuan agar dapat memahami , menghayati dan mendalami maksudnya .

    Bidang ilmu yang dapat merangkumi kajian tentang manusia sebagai individu dan ahli masyarakat ( al – ulum al – istamiyyah ). Bidang ilmu yang dicadangkan adalah seperti psikologi , sosiologi , sejarah dan lain – lain .

    Ilmu mengenai alam tabii atau sains neutral ( ali – ulum al – kauniyyah ) . Ilmu yang di cadangkan adalah seperti astronomi , biologi dan botani . Perlaksanaan kurikulum Islam ditentukan oleh konsep pendidikan umum yang berdasarkan al – Quran , Hadis dan bahasa Arab .

Syed Naguib al - Attas ( 1980 ) ; Pengetahuan terbahagi kepada 2 , iaitu :

  • Pengetahuan yang diberi oleh Allah s.w.t.
  • Pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang :
    • Pengetahuan fardhu ain ialah mentafsir dan menta'wil al – Quran .
    • Sunnah mempelajari kehidupan nabi Muhammad s.a.w. dan nabi – nabi lain serta hadis – hadisnya .
    • Syariat ; mempelajari hukum – hukum dan undang – undang Islam serta prinsip dan amalan Islam .
    • Tauhid ; mempelajari ke esaan Allah . Sifat – sifat Allah yang wajib dan mustahil , tindakan dan nama – nama Allah .
    • Al – Tasawwuf ; ilmu menjernihkan jiwa dan rohani , meliputi psikologi , antologi
    • ( metafizik ) .
    • Akhirnya ; mempelajari bahasa Arab .


 

Ilmu fardhu kifayah meliputi rasional , intelektual dan falsafah wajib dipelajari oleh beberapa orang sahaja . Ia mesti dikaitkan dengan Islam agar ia menjadi pengetahuan yang sempurna .


 

Mata Pelajaran Pendidikan Islam wajib diambil oleh semua pelajar Islam di peringkat sekolah rendah dan menengah. Ia merupakan mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) . Bagi kedua-dua peringkat tersebut,tumpuan diberikan kepada aspek-aspek fardhu 'ain. Melalui Asuhan Membaca al-Qur'an dan Rampaian Pendidikan Islam di peringkat rendah dan Tilawah al-Qur'an dan Ulum Syar'iyah di peringkat menengah, pelajar dapat menguasai pengetahuan,kemahiran dan nilai-nilai asas Islam untuk diamal dan dihayati. Di samping ajaran teras yang merujuk kepada fardu 'ain, pelajar Muslim juga perlu mengembangkan pengetahuan dan pemahaman dalam aspek-aspek fardu kifayah. Mereka perlu memahami berbagai-bagai persoalan dan isu kehidupan yang luas yang mencorakkan dan mempengaruhi budaya serta cara hidup masyarakat Islam.Semua persoalan ini perlu dilihat dari kaca mata dan pandangan hidup Islam,bentuk dan cara sistem Islam digubal dan dilaksanakan dan cara Islam menyelesaikan masalah. Usaha untuk memahami,mengamal dan menghayati ajaran Islam pada masa ini menjadi semakin mustahak. Kemajuan teknologi dan komunikasi yang pantas dan pesat menjadikan dunia seolah-olah sempit dan kecil.Pengaruh budaya asing yang negatif menjadi semakin meningkat dan mengancam budaya dan nilai- nilai hidup murni masyarakat Muslim.Justeru kita perlu memperluas, memperdalam dan memperteguh kefahaman, kesedaran amalan dan penghayatan Islam dalam diri setiap Muslim. Di samping mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran teras dalam KBSM, di peringkat menengah atas juga diwujudkan mata pelajaran Tasawwur Islam sebagai satu mata pelajaran elektif.Oleh itu,pelajar-pelajar diberi peluang untuk mendapatkan pengetahuan dan kefahaman yang lebih mendalam tentang Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Adalah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan agar mata pelajaran ini dapat membantu mencapai cita-cita Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan insan yang seimbang, sepadu dan bertaqwa.


 

Pemikiran Islam berasaskan wahyu dan akal. Sumber wahyu yang terangkum di dalam al-Qur'an al-Karim dan Sunnah Rasullullah S.A.W.merupakan asas yang mencorak pemikiran dan juga menjadi pegangan hidup setiap muslim. Di samping itu, akal fikiran juga boleh digunakan selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Pandangan hidup Islam merangkumi unsur-unsur Ketuhanan (Rabbaniyyah), Lengkap (Syumuliyyah), Benar dan Nyata (Waqi'iyyah), Sarwajagat ('Alamiyyah) dan Anjal (Murunah). Berdasarkan konsep dan asas-asas pemikiran yang terkandung di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah, dapat diwujudkan sistem dan bentuk pemerintahan, pentadbiran, kehakiman, ekonomi dan sosial yang menjamin kesejahteraan hidup individu dan masyarakat. Kefahaman yang lengkap tentang Islam dan kesungguhan melaksanakannya, menjadikan setiap individu bersedia untuk menerima dan menjayakan ajaran Islam. Pengetahuan dan penjelasan yang sahih membolehkan setiap individu memahami fadhilat dan hikmat setiap peraturan yang terkandung di dalam perundangan Islam. Mata pelajaran ini disusun secara berperingkat dengan menumpukan perhatian di peringkat awalnya kepada asas pemikiran dan pandangan hidup Islam. Diikuti dengan sistem hidup Islam yang ditumpukan kepada institusi-institusi asas yang bercorak siasah dan sosioekonomi. Akhirnya dikemukakan cara-cara untuk menyelesaikan masalah berpandukan kaedah dan pendekatan Islam.

No comments:

Post a Comment

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails