Tuesday, May 25, 2010

Hari Esok Untuk Islam I

Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh  yang begitu hebat. 

            Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka  bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai  alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

            Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin  seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir  alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya.

Firman Allah Taala:

" Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)

            Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang  sepatutnya  dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

            Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,  Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal  diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja  Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

            Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah  menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada  ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

            Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.                    

Fajar menyinsing

Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

            Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan  komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami  keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

            Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam

telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad.  Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini. 

Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam.  Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

            Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia.  Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan  yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama:  Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia.  Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:

"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"

(Al A'araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin. 

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini. 

            Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.         

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

            Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

            Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

            Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

            Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.


 

No comments:

Post a Comment

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails