Tuesday, May 25, 2010

MUATAN PERSURATAN UNTUK REMAJA ISLAM OLEH FAISAL TEHRANI


(Petikan buku Idealisme Penulis Muda Antologi Esei sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 Pontian, Johor)

KRISIS paling hebat menimpa umat Islam ditinggalkan oleh penjajah ialah kehilangan fungsi sosial agama. Dalam fasa terdahulu peperangan dengan barat, umat Islam telah tewas buat sementara. Ekoran dari itu ahli masyarakat, peribadi muslim, termasuk remaja telah menjadi pelarian sosial yang mencari perlindungan sejauh dunia barat. Suatu dunia asing yang sebenarnya adalah musuh mereka sendiri. Oleh kerana perlawanan atau peperangan dengan barat masih belum berakhir, dan memasuki fasa seterusnya, individu yang telah menjadi pelarian ini harus disedarkan,

dibawa pulang ke tempat asal, sambil meneruskan pertempuran dengan musuh. Inilah perang yang lebih sengit dan sukar dari perang fizikal hari ini. Justeru persuratan untuk remaja Islam harus ditampilkan dengan lebih agresif bagi mendepani fenomena perang. Muatan karya untuk remaja yang tidak menggugah pemikiran, kekal dengan subjek lapuk dan klise harus ditinggalkan. Persoalan persengketaan jurang generasi, nilai kekeluargaan dan berbudi bahasa misalnya belum memadai (malah dikira ketinggalan) untuk mempersiapkan remaja hari ini berdepan dengan dunia perang yang jauh lebih ganas.

RUANG KERJA PENJAJAHAN
Kegoncangan nilai dan keruntuhan moral yang terhasil oleh ledakan dan bedilan senjata barat harus dipulihkan. Senjata pemusnah barat yang lebih meledak tidak sekadar terhad kepada peluru berpandu tomahawk, bom napalm dan atom sahaja. Britney Spears, Kylie Minogue, boy bands, animasi Walt Disney, produk dari studio-studio Hollywood juga harus dicermati dan diwaspadai (meskipun tidak ditolak mentah-mentah) sebagai peluru atau senjata pemusnah terhadap umat Islam.
Pemusnahan akar budaya ialah satu kombat berpanjangan musuh yang mengasak peribadi remaja muslim kita, kerana remaja muslim kita ialah 'tentera' kita yang berpotensi di hari hadapan. Amerika Syarikat di bawah pimpinan George Bush Jr misalnya masih belum menyerang loji nuklear Republik Islam Iran (sehingga esei ini ditulis) tetapi penjualan album cetak rompak Jeniffer Lopez (JLO) di jalanraya-jalanraya Tehran adalah jerangkap samar, periuk api atau bom berangkai yang jauh lebih memusnahkan.
Kejahatan dan kekerasan Barat boleh saja dilihat menerusi pencerobohan ke atas Iraq, pengeboman ke atas Afghanistan, persekongkolan dengan gerakan zionis, sekatan ekonomi terhadap Syria dan Iran tetapi juga terpancar pada kekerasan budaya dan seni.
Seperti yang pernah disebutkan oleh Hassan Hanafi dalam membincangkan dialektika kekerasan dan anti kekerasan di dunia moden seawal tahun 1986 bahawa, 'kekerasan tidak hanya terhad terjadi pada kehidupan individu, kelompok, masyarakat dan negara sahaja, akan tetapi, apa sahaja yang melanggar dan merosakkan citra, fikiran dan sistem keyakinan juga termasuk dalam kekerasan Barat terhadap kita, kekerasan ini dinamakan kekerasan kultural' .
Wajah kita telah diselewengkan, dimusnahkan, dan dilabel sebagai dunia dengan wajah celoreng comot kebodohan, kemalasan, ketinggalan, dunia yang dinomborkan sebagai ketiga, totalitarianisme, huru-hara, tandus, primitif, tidak moden, tidak menguasai bahasa Inggeris (iaitu bahasa yang dilambangkan oleh mereka sebagai kemajuan), tiada kebebasan (seperti menghadkan wanita dalam batas-batas tertentu), tiada hak asasi (seperti menghukum muslim yang murtad yakni memilih agama selain Islam), ganas, teror, tiada toleransi, dan seribu satu macam penyelewengan dan distorsi yang mengelirukan.
Akibatnya kita merasakan (khususnya remaja kita yang mentah) putus asa kerana tidak dapat mengejar dan mengimbangi kemajuan Barat, rasa dungu kerana tidak mengenali sastera Inggeris dan rasa jahil tidak menguasai bahasa kampung tersebut (sedangkan bahasa-bahasa kaya dunia antara lain ialah bahasa Arab, Jepun, Parsi, Turki, Hindi, bahasa rumpun Cina, dan bahasa Melayu Indonesia), rasa tertekan tidak mengemaskini perbendaharaan senarai artis Barat, rasa gagal kerana tidak ikut serta reality tv atau rasa purba tidak mengekori fesyen terkini, rasa tertutup jika tidak memperakukan agama lain juga sama dengan agama Islam serta seribu satu rasa yang semuanya mendorong kepada rendah diri yang tidak berasas dan putus asa yang kompleks dan tidak bersebab. Remaja kita menjadi pelarian di negeri Fantasia. Fantasi dan angan-angan yang dicipta-ciptakan oleh Barat. Fantasi dan angan-angan yang diterapkan menerusi ejen-ejen asing ini sangat mencolok mata dan berlaku tanpa segan silu malah diterima pakai serta diraikan dengan seribu satu alasan.
Keadaan ini telah lama disebut dan ditegur secara lantang dan keras oleh pemikir Aljazair, Malek Ben Nabi. Menurut beliau, dengan menggunakan institusi pendidikan dan lingkungan kemasyarakatan, satu pembentukan model penjajah telah diperkenalkan Barat di kalangan masyarakat Timur sehingga perkembangan budaya, sosial dan wawasan masyarakat dibantutkan. Gerakan meracun persekitaran Timur dan umat Islam ini dengan sendirinya, secara otomatis, menukar manusianya. Peranan masyarakat sebagai ejen politik dilumpuhkan ke akar umbi. Malik Ben Nabi malah secara terang menyebut Barat menggunakan kesenian seperti nyanyian untuk melemahkan nilai-nilai kekeluargaan Islam, menjadikan masyarakat lemah dan terasa hilang tumpuan tanpanya. Beliau menamakan fenomena ini sebagai coeflicient atau ruang kerja penjajahan . Apa yang dilakukan oleh Barat ini malah menghapuskan prinsip dasar individu muslim dengan merosakkan tumpuan akidahnya, melanggar sahsiahnya dan meruntuhkan pembangunan insani. Menurut Ben Nabi saluran pendidikan bukannya penglibatan politik yang dapat membaiki keadaan rumit ini.

PERSURATAN SALURAN PENDIDIKAN
Persuratan sebagai bahagian dari pendidikan haruslah mengambil tempatnya semula, menjadi penyelamat dan mengeluarkan masyarakat dari belenggu anasir buruk. Sastera harus kembali menjadi ejen pembebasan jiwa, sastera harus dilihat sebagai persuratan tulen.


Seperti apa yang dilakukan oleh Hz Musa a.s yang menyerukan idea penyelamatan dan kemerdekaan jiwa di tengah-tengah masyarakat yang sudah pasrah, lali, menyerah dan beku memperakukan kezaliman Firaun. Sehingga apabila Hz Musa melemparkan idea pembebasan jiwa kepada generasi muda, masyarakat Mesir berasa terkejut dan teruja, rasa tercabar dan ingin bangkit, rasa resah dan mahu segera meluru, rasa mahu berjuang mencapai kebebasan tersebut. Suara Hz Musa menyedarkan mereka betapa bosannya hidup terkongkong dan mendengar alasan muslihat pemimpin, menggerakkan mereka untuk menjadi kreatif dan inovatif dan bukannya terbenam oleh satu-satu idea dan pemikiran.
Pandangan sasterawan tua, kuno, purba dan ketinggalan zaman bahawa karya untuk remaja harus ringan (tidak memberatkan dan mendorong tujahan pemikiran yang bersungguh) mesti dilupakan. Dalam hal ini persuratan untuk remaja boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama ialah persuratan untuk remaja awal. Untuk remaja bahagian pertama ini persuratan sebagai saluran pendidikan harus sekurang-kurangnya mengambil, berpegang dan menampilkan buat mereka lima prinsip asas ini:


1. Penegasan dan pengukuhan doktrin tauhid. Sebagai hamba Allah kita mengimani bahawa daripada Allah kita datang kepada Allah kita kembali. Oleh kerana remaja kita telah menjadi pelarian, tujuan hidup mereka telah menjadi sia-sia dan mereka mendekati dunia secara buta dan kosong maka remaja harus disedarkan dengan pertanyaan Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 115: Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main? Kita mesti menyedari bahawa tersedia dua lorong untuk remaja ini. Lorong menuju lebuhraya kehancuran atau lorong menuju lebuhraya kebaikan seperti difirmankan dalam surah al-Balad ayat 10: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan dan jalan kebatilan). Usaha untuk membawa mereka kepada jalan kebaikan amat penting dan harus dikerah dengan sekudrat tenaga yang ada. Gerakan mencetuskan semula mereka ke arah lebuhraya yang baik tidak boleh diremehkan kerana Allah berfirman dalam surah ar-Ra'd ayat ke 11: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sebelum kaum itu mengubah keadaan diri mereka.
2. Pemugaran semula prinsip akhlak dan moral. Sastera yang menanamkan prinsip akhlak harus disuburkan dan dibaja. Sastera yang sedia kita fahami hari ini harus 'diislamkan' supaya dapat menjadi persuratan. Ini bermakna karya sastera akan tampil sebagai satu karya moral dengan jalan pilihan ke arah kebaikan yang jelas. Pengarangnya pula mesti berusaha menjadi qudwah salihah seperti yang dituntut oleh Allah ke atas kita semua dengan memerhatikan peribadi Rasulullah SAW: Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik (al-Ahzab ayat 21).
Justeru karya sastera yang tidak ada nilai (hanyalah pop-popan yang tidak membangunkan sahsiah) dan etika serta moral, picisan dan sia-sia, dan membawa kepada kerosakan tidak termasuk dalam kategori ini.
3. Membangunkan bakat dan kemampuan. Persuratan dapat membangunkan bakat, kemampuan dan keupayaan manusia. Persuratan sebenar dapat mendorong penggunaan akal, hati dan anggota badan lainnya ke arah kebaikan. Persuratan juga menyalurkan tenaga positif yang mendorong kepada keterlibatan penikmatnya dalam aktiviti yang mencetuskan kreativiti. Karya sastera yang tidak membangunkan bakat dan kemampuan ialah karya sastera yang menimbulkan tanda tanya, resah gelisah kerana persoalan tidak terjawab, malah mendorong manusia kepada kejahatan atau kekalutan. Kerana itulah persuratan harus dikembalikan untuk membantu remaja Islam dan mengembalikan mereka semula ke jalan yang sebenar. Supaya mereka dapat dikembalikan ke 'tanahair' semula setelah jauh menjadi 'pelarian'.


4. Persuratan remaja dapat mencipta lingkungan yang positif. Apabila persuratan dapat menggerakkan potensi individu, persekitaran sosial dan budaya yang baik juga dapat terbentuk. Sastera hari ini harus dijadikan persuratan supaya dapat mendiri dan membangunkan budaya yang sihat. Apabila persuratan sahaja yang ada di kalangan remaja kita, lingkungan positif akan terbangun dengan sendirinya.
5. Mencairkan semula sejarah yang beku. Persuratan harus bertindak mencairkan sejarah yang telah dibekukan dan dikakukan oleh penjajah dan musuh Islam yakni Barat. Bahagian-bahagian sejarah yang dibenamkan dan disembunyikan harus dicungkil keluar semula, diaktifkan dan dijanakan serta dijadikan tenaga mendorong kita mencipta semula kegemilangan masa hadapan. Kehadiran al-Quran misalnya antara lain berfungsi untuk kita memahami dan menggerakkan sejarah yang beku. Ini difirmankan oleh Allah dalam surah al-Qasas ayat 51: Dan sesungguhnya telah Kami turunkan berturut-turut perkataan ini (al-Quran) kepada mereka agar mereka mendapat pelajaran. Remaja harus disedarkan bahawa gerakan sejarah dan perkembangannya berlaku kerana perbuatan manusia dengan kehendak bebasnya.



Bahagian kedua pula ialah persuratan untuk remaja akhir. Untuk remaja bahagian kedua ini persuratan sebagai saluran pendidikan harus sekurang-kurangnya mengambil, berpegang dan menampilkan buat mereka tiga prinsip asas ini:
1. Pertarungan membaiki kerosakan. Sesungguhnya jika kita memerhatikan sejarah umat terdahulu, kerosakan yang ada adalah dalam bentuk yang satu. Iaitu pemutusan hubungan antara manusia dengan tuntutan wahyu atau pemungkiran manusia atas kekuasaan Allah SWT. Umat Hz Nuh a.s membuat kerosakan dengan menyembah warisan nenek moyang terdahulu. Umat Hz Hud melakukan penindasan ke atas yang lainnya kerana sebahagian yang melakukan kerosakan itu memiliki kekuasaan despotik. Kerosakan di kalangan umat Hz Lut pula ialah penyimpangan seksual yang luar biasa. Kerosakan di kalangan umat Hz Shuib pula ialah berkait dengan perilaku kegiatan ekonomi mereka. Pada era tersebut mereka yang beriman belum diwajibkan berperang melawan golongan yang kafir kerana Allah SWT sendiri yang akan melaksanakan tanggungjawab tersebut tetapi hari ini dengan semua kerosakan di atas berlaku dan tuntutan melakukan pemulihan atas segala kerosakan yang berlaku (seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam hidup baginda), remaja akhir harus disiapkan supaya mereka menjadi seorang muslim dewasa yang bersedia melangkah melakukan matlamat akhir yang akan disebutkan kelak.
2. Penampilan fiqhul inkar (fikah nahi mungkar). Untuk membaiki kerosakan-kerosakan ini, penampilan amar makruf (seperti yang telah ada dalam karya-karya remaja hari ini) belum mencukupi kerana bahagian paling penting dari satu hadharah atau peradaban tentulah nahi mungkar. Peradaban Islam takkan tertegak jika di kanan masjid dan perpustakaan ditumbuhkan sementara di kiri pusat hiburan berteras hedonisme dipupuk. Terdapat sekurang-kurangnya tiga bahagian nahi mungkar seperti yang diutarakan oleh al-Mawardi dalam Ahkamus Sulthaniyyah. Tiga perkara tersebut ialah: apa sahaja yang termasuk hak Allah SWT, apa sahaja yang termasuk hak-hak manusia dan seterusnya apa sahaja yang termasuk hak Allah dan manusia. Persuratan yang menampilkan aspek nahi mungkar ini tidak dapat tidak akan mendapat perhatian yang dingin dari mereka yang ingkar tetapi akan diterima dengan tenang dan menginsafkan oleh mereka yang beriman.
Berpadalah diturunkan kisah yang dipetik dari al-Adabusy Syar'iyah, jilid 1 pada halaman 217 iaitu mengenai perbualan Amru bin Saleh dan Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Hanbali mengatakan kepada sahabatnya: Duhai Abu Hafs (Amru bin Saleh), akan datang kepada manusia satu masa, saat orang-orang mukmin (dicampakkan) seperti bangkai, sedangkan orang munafik dihormati. Kemudian Amru bin Saleh bertanya lagi, bagaimana boleh orang munafik dihormati? Imam Hanbali menjawab, mereka menganggap perintah Allah sebagai campur tangan dalam urusan peribadi. Imam Hanbali mengatakan lagi, seorang mukmin jika memandang amar makruf nahi mungkar, ia tidak akan dapat bersabar, hingga akhirnya terpanggil melaksanakan. Inilah yang mereka (orang munafik) katakan campur tangan peribadi. Imam Hanbali mengatakan lagi, orang munafik jika melihat sesuatu, ia akan mengatakan dengan perli, orang-orang ini (mukmin) memang tidak mempunyai pekerjaan lain, kecuali mencampuri urusan orang lain.
3. Usaha untuk menghidupkan agama. Persoalan ini berkait rapat dengan dua persoalan di atas. Persuratan remaja Islam dengan sendirinya, jika ia satu persuratan, otomatis akan menghidupkan agama. Menurut as-syahid Murthada Mutahhari menghidupkan agama tidak lain tidak bukan ialah dengan bekerja keras menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dan menghancurkan segala bentuk bida'ah. Umat Islam khususnya remaja yang bakal melangkah ke alam dewasa harus menyedari bahawa Islam memanglah agama yang hidup justeru agama yang hidup tidak membenarkan kejahilan, kelemahan dan kelumpuhan budaya dan persekitaran. Perkataan al-hayy dalam tradisi al-Quran dan sunnah pula amat rapat dengan ilmu pengetahuan. Subjek ini terpancar pada ayat 24 dalam surah al-Anfal: Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah, seruan Rasul apabila Rasul menyeru kepada sesuatu yang menghidupkan.

BERSATU SEBAGAI UMMAH
Muatan persuratan remaja yang disarankan di awal tadi adalah sebahagian dari usaha-usaha pendidikan terhadap remaja Islam untuk mencapai satu tujuan murni yakni bersatu sebagai ummat al-ijabah dan menyeru ke arah tauhid buat ummat al-dakwah .
Kejatuhan khilafah Uthmaniyyah bererti kehilangan Islam dari tampuk kekuasaan politik dunia. Kerja keras memenangi perang hari ini tidak lain tidak bukan, bertujuan untuk mencapai apa yang terkandung dalam ayat 110 surah Ali Imran: Kamu adalah ummat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Juga pada firman Allah: Sesungguhnya (agama tauhid ini) adalah agama (ummat) kamu semuanya; agama (ummat) yang satu, dan Aku adalah Rabb kamu, maka sembahlah Aku (surah al-Anbiya ayat 92).


Tujuan akhir ini tidak harus segan silu dinyatakan bahawa Islam memang menuntut supaya didirikan sebuah negara Islam internasional, sebuah dunia yang 'ditakluk' atau 'dinaungi' oleh kalimatullah. Ini tercermin pada ayat-ayat al-Quran seperti:
Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah (al-Anfaal ayat 39).
Juga pada ayat:
Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama.
Cara untuk mencapai matlamat murni ini begitu banyak tentunya, salah satu cabang yang serius dan signifikan ialah aspek pendidikan. Persuratan termasuk dalam bahagian paling besar dari aspek tersebut.

KESIMPULAN
Remaja Islam menerusi persuratan harus dibangkit, digugah dan diinsafkan bahawa kesatuan umat Islam tersebut satu fardhu kifayah dan usaha ke arahnya adalah fardhu. Mereka harus segera memahami bahawa kekuasaan itu hanya milik Allah dan usaha menjadikan kekuasaan itu hanya pada dan dari-Nya adalah fardhu. Bahawa kewujudan khalifah itu satu kewajiban dan menjalankan usaha ke arahnya fardhu. Justeru tanggungjawab yang harus diisi oleh persuratan remaja Islam justeru bukanlah sesuatu yang main-main, tidak lagi dalam kerangka berfikir penulis generasi terdahulu yang kononnya karya remaja harus ringan, bahawa persuratan remaja adalah medan dakwah, medan jihad dan medan tajdid.

NOTA HUJUNG


1 Pengambilan dari Barat asalkan tidak bertentangan dengan Islam tidak menjadi satu kesalahan tentunya. Bagaimanapun anjuran Hassan al Banna bahawa 'jika Timur menyedari haknya, mahu mengubah dirinya, menguatkan jiwa dan meluruskan akhlaknya, maka akan datang kekuatan material dari segenap penjuru' harus tidak diremehkan.

2 Hassan Hanafi membuat anjuran ini di satu seminar di Amman, Jordan dalam tahun 1986.

3 Penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran subjek Matematik dan Sains di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan bahawa ejen asing tidak semestinya datang dari penjajah sendiri malah boleh datang dari pemimpin bangsa yang mengaku seorang nasionalis tulen.

4 Persoalan ini dibincangkan secara lebih mendalam oleh Dr Ali al-Quraisyiy dalam at-Taghyeer al Ijtma'I Inda Malik Ben Nabi terbitan Az Zaharaa lil I'lam al 'Arabi Mesir.

5 Setiap manusia yang rela dan menerima seruan dakwah Rasulullah SAW dengan memeluk agama Islam.

6 Seluruh manusia di atas bumi ini yang telah mendengar mengenai seruan dakwah dan Islam tetapi masih belum atau tidak mahu memeluk agama Islam.

No comments:

Post a Comment

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails