Sunday, May 23, 2010

AMERIKA YANG AKU KENALI


Mengenali Afghanistan dengan maklumat yang sedikit dan terpisah-pisah tentunya amat mengelirukan.   Lebih sulit lagi apabila maklumat dikongkong oleh Barat di serata ceruk dunia yang sedang dengan teliti dan ghairahnya melakarkan peta nakal untuk ditopengkan ke wajah orang-orang berjanggut di Afghanistan itu.     Hasilnya, Taliban diberikan kumis militan dan dijambang dengan imej pengganas yang menggerunkan.
           Disogok-sogoknya pandangan dunia dengan pemusnahan 2 buah patung Buddha atau sikap Taliban yang 'kononnya' menafikan kaum wanita untuk menerima pendidikan.   Demikianlah nasib Kerajaan Taliban dan Ben Laden yang cuba diskripkan dalam drama dan plot cerita pemusnahan Pentagon pada 11 September 2001 yang lalu.    
Pernahkah kita semak sebab-sebab terperinci keputusan untuk memusnahkan patung yang dimaksudkan atau cuba-cuba bertanyakan sama ada benar dan sungguhkah Kerajaan Taliban merampas hak wanita dari mendapat pendidikan.   Jika kita membuat penyelidikan yang bertaraf "research", jawapan yang kita dapati tentu berlainan malah bertentangan dengan lakaran fakta hidangan AS yang lebih berbentuk 'auta' itu.   Dari kajian sebenar, bukan setakat kaum wanita Afghanistan diberikan pendidikan malah mereka turut dibenarkan berkhidmat di Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebajikan Awam.    Inilah fakta yang disorok di celah dapur AS dalam percubaan jahatnya bagi meramukan sebuah resipi fitnah untuk dikunyah oleh seluruh umat manusia di planet bumi kini.    Dihujung kesannya nanti, setiap butir mata di Timur dan Barat mula melihat Taliban sebagai Taliban yang diconteng wajahnya dengan misai, kumis dan jambang "terrorist" seperti yang dibutuhi Amerika.    Tidakkah mungkin Amerika cuma mahukan lampu hijau dari sebanyak mungkin penjuru untuk mengganyang Islam?      Bukankah Islam satu-satunya tenaga dan saingan kepada kuasa mustakbirin itu setelah blok komunis mengalami kelumpuhan?  Oleh kerana itu kita dapat melihat belumpun selesai keganasan di Kandahar dan Kabul, 'dia'  kini  sedang mengalih nafsunya untuk kembali ke Baghdad sebagai sasaran kedua dengan alasan seolah-olah Saddam yang sedang bertanggungjawab menabur debu antraks di Washington.   Ketika dunia sedang asyik mengukur dan menganalisis pendirian militan AS, Tel Aviv pula mengambil kesempatan untuk mengamuk dan dengan cepatnya sedang menabur peluru ke perut dan dada umat Islam di Palestin dan Semenanjung Gaza.   Akan berjayakah mereka untuk menyembunyikan niat dalam permainan wayang dan sandiwara ini? 
Bayi Palestine ditembak tentera Israel
Kemudian, siapa pula Amerika?   Salahkah kita jika cuba mengenali Amerika Syarikat dengan segala akal budinya.   Benar-benar berbudayakah mereka atau ganaskah bangsa kulit putih yang cuba menjadi 'polis antarabangsa' itu?    Faktanya cukup jelas seperti urutan peristiwa di bawah:-  
Kekejaman Amerika Syarikat terhadap kaum asli Amerika  
          Kaum Red Indian yang menjadi penduduk asli Amerika telah dibunuh beberapa juta untuk menghalalkan bangsa kulit putih itu bertapak sebagai sebuah kerajaan.   Begitu juga dengan keganasan terhadap kaum berkulit hitam dalam amalan sistem hamba.  
Serangan ke atas Filipina  
          Pembunuhan beramai-ramai wanita, orang awam dan kanak-kanak di Filipina.   Diantara tahun 1899 – 1902 melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Filipina.   Serangan dan pembunuhan ini dilakukan untuk menjadikan Filipina sebagai pengkalan untuk mengeksploitasi China.    Presiden William Mc Kinley lalu merumuskan pertumpahan darah itu sebagai "takdir dari tuhan"  (god's will).  
 Serangan ke atas Hiroshima dan Nagasaki (6 Ogos 1945)  
Ratusan ribu rakyat Jepun di kedua-dua Pulau telah dibom menggunakan senjata atomik.   Ini sebuah aksi keganasan bertaraf antarabangsa.    Sampai ke hari ini   sisa bahan  radioaktif   dari   bom berkenaan  masih mengancam nyawa.   Melalui peristiwa ini, Amerika Syarikat telah  dengan  angkuhnya memperkenalkan kepada kerajaan seluruh dunia bahawa dialah ketua yang akan menentukan segala sesuatu.  
Pembunuhan kejam besar-besaran Amerika di Vietnam, Laos, Kampuchea dan Korea (tahun 1951 – 1953 dan 1965 – 1974)  
          Perang Korea antara tahun 1951 – 1953 melibatkan puluhan ribu korban.   Bukan hanya rakyat Korea yang mati tetapi orang-orang China turut terkorban kerana berpihak kepada Korea Utara.  
Dalam Perang Vietnam walaupun seramai 60,000 askar AS terkorban, tetapi dunia tidak lupa pembunuhan keatas 3 juta rakyat Vietnam.  
Serangan George Bush di Granada pada 20 Disember 1989  
          Serangan ini melibatkan banyak korban.   Amerika akhirnya berjaya menangkap Presiden Noriega untuk dipenjarakan.   George Bush iaitu bapa kepada Presiden George W. Bush yang ada sekarang telah menangkap dan memenjarakan Noriega tanpa pengadilan sampai ke hari ini.   Dunia membisu seribu bahasa.  
Pembunuhan di Yugoslavia di tahun 1999  
          Bersama-sama dengan 18 anggota negara NATO, AS telah membunuh 3 ribu penduduk Yugoslavia dalam sebuah misi pemusnahan disepanjang 78 hari yang tidak putus-putus menggunakan senjata-senjata maut seperti uranium missiles, cluster bombs, cruise missiles dan bom-bom pintar (smart bombs).   Kebanyakan yang dibunuh adalah orang Islam.   Soalnya kenapa Slobadan Milosevic tidak diburu sebagaimana AS memburu Ben Laden?   Adalah benar bahawa Milosevic  sedang diadili di The Hague.   Tetapi  mampukah  Mahkamah Antarabangsa  itu  memberikan  keadilan.  
Dalam berita CNN semalam (29 Oktober 2001), Milosevic kelihatan begitu santai, bergaya dan bercekak pinggang sementara menyaksikan kesnya dibicarakan.  
Pembunuhan di Yugoslavia bukan sangat kerana mahu membawa keamanan tetapi dilihat lebih kepada faktor ekonomi untuk menguasai logam-logam berharga seperti lead, zinc, codnium, perak dan emas di lombong Trepca, Kosovo yang bernilai US$5 billion.   Terdapat juga 17 billion tan rezab arang batu di Kosovo yang menjadi kegilaan Amerika.   Dari perkiraan strategik pula, AS mahu mengekalkan hegemony kekuasaan dan dominasi di negara-negara Eropah melalui pertapakannya di Yugoslavia.  

 
Pemusnahan Amerika di Perang Teluk di Iraq (1990 – 2000)  
          Serangan tidak berperikemanusiaan yang memusnahkan sekolah, hospital, tempat awam dan lain-lain kemudahan infrastruktur telah melibatkan pembunuhan seramai 1.5 juta rakyat Iraq disepanjang tempoh 10 tahun.   Bayangkan pembunuhan yang sedemikian zalim dalam tempoh sedemikian lama.   Dunia tidak mampu berbuat apa-apa dalam melihat aksi Amerika yang biadap dan serba mengganas.  
Serangan Ke atas Tripoli dan Benghazi (15 April 1978)  
          Beratus-ratus orang awam telah terkorban termasuk anak perempuan kepada Presiden Muammar Gadafi iaitu Presiden Libya sekarang.  
Kezaliman di Palestin  
          Sejak bumi Palestin dibelah dua pada tahun 1948, dengan pengiktirafan Amerika melalui Presiden Truman, 5 minit setelah negara haram Israel diisytiharkan, bumi Palestin tidak pernah kering dengan darah hingga  ke hari  ini.   Salah  satu puncak peristiwa  ngeri adalah pembunuhan kejam beramai-ramai umat Islam di kem-kem pelarian Shabra dan Shatila oleh AS.  Sebuah kegilaan dan keganasan yang tidak ada tolok bandingnya.  Dimana pendirian PBB dalam tragedi ini?    Apa yang dunia dapat lihat hanyalah Kofi Annan dengan mata layunya.  
Sikap double-standard AS  terhadap Ben Laden  
          Semasa usaha memerangi rejim Russia di Afghanistan yang telah membunuh seramai 1.5 juta rakyat, melumpuhkan 1 juta orang termasuk menjadikan 6 juta penduduk Afghanistan menjadi pelarian; AS telah memberikan kepercayaan penuh kepada Ben Laden untuk memerangi Soviet.   Presiden Reagan dan Setiausaha Keselamatan Amerika Dick Chenney di ketika itu sering menyanjung Osama dan kumpulannya sebagai "freedom fighters".   Kini setelah Osama tidak diperlukan lagi, AS lalu melabelkan pula mereka sebagai pengganas nombor 1 yang amat berbahaya.
Sekarang sudah hampir 3 minggu Amerika sedang dengan tekunnya memusnahkan Afghanistan, atas nama mahu menghukum pengganas yang pernah dipujinya disatu ketika dahulu.   Nampaknya definisi pengganas hanyalah mengikut telunjuk dan selera Amerika semata-mata.   Seluruh dunia lalu dikerah untuk bersana-sama membasmi pengganas.  
Penutup 
Tidakkah dengan ini Amerika boleh diiktiraf sebagai pengganas kelas 1 melalui contoh-contoh di atas.   Masihkah dunia yakin dengan sikap durjana Amerika dalam misi besar untuk kononnya mengamankan dunia.  Kini, tidak perlulah lagi untuk kita bertanyakan siapakah pengganas dunia yang sebenar.  Ia tidak lain daripada; Kerajaan Amerika yang dipimpin oleh George W. Bush dan sesiapa jua yang bersekutu dengannya. Sepatah ayat al-Quran yang mendedahkan tekad orang Yahudi dan Nasara yang tidak akan selama- lamanya berpuas hati selagi umat Islam tidak mengikut telunjuk mereka dari petikan maksud surah Al-Baqarah 120 amat wajar di jadikan asas renungan.
 
 
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan  
Bertarikh:      13 Syaaban 1422 /  30 Oktober 2001.

No comments:

Post a Comment

anda mungkin juga meminati ini

Related Posts with Thumbnails